Punca sakit belakang dan cara pencegahan | Hospital Gleneagles
Kesihatan Tulang & Sendi

Menguruskan sakit belakang badan

30 Mei 2023 · 4 mins read

Topics







Ketahui lebih lanjut tentang pengurusan sakit belakang dan masa untuk melawat pakar ortopedik untuk rawatan.

7 punca sakit belakang

Masalah sakit belakang adalah perkara biasa hari ini dan lebih 80% orang mengalami sekurang-kurangnya sekali sakit belakang sepanjang hayat mereka.

Dalam kebanyakan kes, tiada punca asas yang jelas. Tetapi adakalanya kesakitan boleh dikaitkan dengan masalah perubatan atau penyakit. Punca-punca yang mengakibatkan sakit belakang:

  1. Penyakit cakera degeneratif: Penggunaan tulang belakang yang normal secara harian juga boleh menyebabkan penyakit cakera degeneratif dari semasa ke semasa. Ini disebabkan oleh pembentukan rekahan kecil dan koyakan atau/dan kehilangan cecair dalam cakera tulang belakang. Ini boleh mengakibatkan perubahan pada vertebra tulang belakang bersebelahan, termasuk pembentukan taji tulang.
  2. Cakera membonjol dan hernia: Penggunaan cakera tulang belakang secara berlebihan boleh menyebabkan pembengkakan cakera, di mana penutup luar melemah, dan cakera membonjol. Sesetengah orang mungkin mengalami kesakitan yang memancar ke bahagian belakang kaki apabila cakera yang membonjol memampatkan saraf. Keadaan ini dikenali sebagai skiatika.
  3. Stenosis tulang belakang lumbar: Ini adalah keadaan di mana ruang terbuka di dalam saluran vertebra menjadi semakin sempit.
  4. Osteoartritis: Keadaan ini boleh menjejaskan sendi facet (sendi yang menghubungkan vertebra).
  5. Spondilitis mengankilosis: Ini adalah sejenis artritis yang menyebabkan keradangan pada tulang belakang dan bahagian lain badan anda. Jika tidak dirawat, lama-kelamaan akan menyebabkan tubuh menjadi kaku akibat keradangan pada sendi dan tisu tulang belakang. Dalam kes yang teruk, boleh menyebabkan vertebra bercantum yang mengakibatkan tulang belakang menjadi kaku dan tidak lagi fleksibel.
  6. Spondilolistesis: Ini adalah keadaan apabila salah satu vertebra tulang belakang bawah “tergelincir” ke hadapan berbanding yang lain.
  7. Sakit belakang akibat pekerjaan: Postur yang lemah semasa berdiri atau duduk di tempat kerja, memandu jarak jauh dan teknik mengangkat yang tidak betul boleh mengakibatkan sakit belakang.

Bila perlu berjumpa doktor untuk sakit belakang

Walaupun sakit belakang biasanya tidak menunjukkan keadaan perubatan yang serius dan biasanya sembuh dengan sendirinya dengan agak cepat tanpa memerlukan sebarang rawatan, namun ia juga boleh mengganggu aktiviti harian anda apabila ia tidak boleh disempurnakan dengan baik.

Anda perlu melawat pakar ortopedik jika anda mengalami mana-mana simptom berikut:

  • Sakit belakang yang berpanjangan melebihi 4 minggu.
  • Kesakitan pada belakang badan yang teruk dan tidak bertambah baik dengan rehat.
  • Jika rasa sakit memancar ke bahagian belakang kaki anda.
  • Kelemahan, kebas atau kesemutan pada satu atau kedua-dua kaki.
  • Sakit belakang dengan demam yang tidak dapat dijelaskan atau penurunan berat badan.
  • Sakit belakang akibat jatuh, terutamanya jika anda berumur lebih daripada 50 tahun.
  • Sakit belakang baharu jika anda berumur 70 tahun ke atas.

Dapatkan diagnosis sakit belakang badan daripada pakar

Doktor anda akan terlebih dahulu bertanya tentang kesihatan dan simptom am anda sebelum menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh. Diagnosis dibuat berdasarkan simptom yang anda laporkan, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan.

Kebanyakan individu yang mengalami sakit belakang pulih dalam masa beberapa minggu tanpa memerlukan ujian pengimejan. Oleh itu, ujian pengimejan tidak dilakukan secara rutin untuk semua pesakit yang mengalami sakit belakang.

Dalam keadaan tertentu, ujian pengimejan seperti X-ray, imbasan tomografi berkomputer (CT) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) mungkin disyorkan jika terdapat situasi berikut:

  • Pesakit mengalami sakit belakang yang berterusan selama lebih daripada empat hingga enam minggu dan puncanya tidak diketahui.
  • Terdapat faktor risiko atau tanda jangkitan atau keganasan.
  • Pembedahan sedang dipertimbangkan.

Rawatan yang sesuai untuk sakit belakang

Pilihan rawatan bergantung pada simptom anda dan keterukan keadaan anda. Rawatan bertujuan untuk melegakan simptom, membolehkan anda menjalankan aktiviti biasa dan mencegah komplikasi lanjut.

Berikut adalah beberapa langkah yang disyorkan yang boleh membantu mengurangkan sakit belakang.

  1. Kekal aktif
    • Kekal aktif sebanyak mungkin adalah baik untuk belakang anda kerana pergerakan membantu melegakan kesakitan sambil menghalang kehilangan kekuatan otot.
    • Jika sakit belakang anda teruk, anda mungkin perlu berehat selama satu atau dua hari. Namun, rehat di katil berpanjangan tidak digalakkan.
  2. Haba dan ubat untuk melegakan kesakitan
    • Balutan yang dipanaskan atau pad pemanas boleh membantu dengan sakit belakang.
    • Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen atau naproxen diberikan.
    • Ubat relaks otot seperti cyclobenzaprine boleh membantu melegakan sakit belakang. Memandangkan ia boleh menyebabkan rasa mengantuk, ia perlu diambil semasa waktu tidur.
  3. Fisioterapi
    • Fisioterapi dengan program senaman individu yang merangkumi regangan, fleksi, lanjutan dan pengukuhan mungkin bermanfaat.
  4. Perubahan kerja dan gaya hidup
    • Anda mungkin perlu mengambil cuti kerja untuk pulih jika anda tidak boleh duduk atau berdiri dengan selesa di tempat kerja anda.
    • Perubahan gaya hidup seperti penurunan berat badan, pengurangan tekanan, penggunaan alatan sokongan belakang dan peningkatan aktiviti fizikal adalah beberapa cara yang boleh memperbaiki masalah sakit belakang bawah anda.
  5. Pembedahan
    • Pembedahan hanya disyorkan atau dipertimbangkan pada pesakit yang mengalami radikulopati berterusan akibat stenosis tulang belakang atau cakera hernia yang tidak bertindak balas terhadap terapi lain.

Antara cara pencegahan sakit belakang yang baik

Sentiasa gunakan pendekatan yang betul semasa melakukan aktiviti tertentu seperti berikut:

Atur janji temu dengan pakar kami di Hospital Gleneagles

Pasukan profesional penjagaan kesihatan yang prihatin dan pelbagai disiplin sedia untuk berunding dan memberikan penjagaan yang terbaik. Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pakar Ortopedik di Hospital Gleneagles hari ini.


Suggested Artikel