Koyak Ligamen Krusiata Anterior (ACL)
  • Ambulans / Kecemasan
    +604 222 9199
  • Talian am
    +604 222 9111
BM
  • EN
  • CHI
  • ID

Koyak Ligamen Krusiata Anterior (ACL)

Gleneagles Hospital Penang

ACL koyak apabila tekanan berlebihan dikenakan pada lutut, biasanya apabila cedera semasa bersukan, terjatuh atau kemalangan kenderaan bermotor.

 

Apakah yang Menyebabkan Koyak ACL?

ACL koyak apabila tekanan berlebihan dikenakan pada lutut, biasanya apabila cedera semasa bersukan, terjatuh atau kemalangan kenderaan bermotor. Koyak ACL berlaku apabila lutut terpusing atau tersentak ke hadapan melebihi had tertentu. Koyak ACL sering berlaku dalam sukan tertentu seperti bola sepak dan ski.

 

 

Apakah itu Ligamen Krusiata Anterior (ACL)?

Terdapat empat ligamen yang mengimbangkan sendi lutut. Dua daripadanya terletak di luar sendi lutut dan dua lagi terletak di dalam sendi (intrasendi). Ligamen-ligamen intrasendi ini bersilang antara satu sama lain dalam bentuk seperti silang. Oleh itu, ia dikenali sebagai ligamen krusiata. Ligamen intrasendi hadapan dikenali sebagai Ligamen Krusiata Anterior (Anterior Cruciate Ligament, ACL).

 

 


 

Apakah Simptom dan Tanda Koyak ACL?

  • Selepas sahaja kecederaan ACL berlaku, pesakit akan merasa kesakitan dan bengkak yang ketara di lutut
  • Pembengkakan biasanya berlaku dalam masa beberapa jam
  • Kesukaran untuk berjalan pada peringkat awal selepas kecederaan
  • Kesakitan dan pembengkakan berkurangan selepas seketika, tetapi lutut masih tidak stabil
  • Selepas pemulihan awal, biasanya pesakit mengalami episod lutut lemah terutamanya semasa bergerak atau berpusing
                

     ACL yang normal                             ACL yang koyak

 

 

Bolehkah ACL yang Koyak Sembuh Tanpa Pembedahan?

ACL yang koyak tidak boleh sembuh dengan sendiri. Sendi lutut dipenuhi dengan cecair sinovium yang menghalang pembentukan darah beku dan ligamen yang koyak daripada bersentuhan. Oleh itu, ACL tidak dapat sembuh tanpa pembedahan, bukan seperti ligamen di luar sendi yang mempunyai potensi untuk sembuh dengan baik.

Jika ACL yang koyak tidak dirawat, pesakit mungkin terdedah kepada kecederaan lutut lain seperti koyak meniskus dan mungkin menghidapi osteoartritis.


Apakah Rawatan untuk Koyak ACL?

Rawatan Konservatif

  • Walaupun ACL tidak dapat sembuh dengan sendiri, ramai pesakit dapat menghadapinya tanpa pembedahan, terutamanya mereka yang mempunyai gaya hidup sedentari dengan keperluan fizikal yang rendah.
  • Selepas meletakkan ais dan diberikan analgesik sebaik sahaja berlakunya kecederaan ACL, rawatan fisioterapi akan meningkatkan fungsi lutut dari masa ke semasa.
  • Tanpa rawatan pembedahan, mereka yang mengalami koyak ACL tidak boleh menyertai aktiviti yang menggunakan banyak tenaga seperti melompat dan berputar.

Rawatan Pembedahan

  • Pembedahan disyorkan untuk pesakit yang muda dan aktif secara fizikal.
  • Rekonstruksi ACL dilakukan dengan menggantikan ligamen yang koyak dengan tendon daripada pesakit (autograf) atau daripada penderma (alograf).
  • Pembedahan ini biasanya dilakukan dengan artroskopi (pembedahan lubang kunci).

 

Apakah itu Artroskopi?

Artroskopi ialah prosedur memasukkan teleskop ke dalam lutut dan disambungkan ke monitor agar bahagian dalam lutut dapat dilihat. Melalui lubang kecil lain (portal), instrumen dimasukkan ke dalam lutut untuk membentuk semula ligamen.

 

Apakah yang Perlu Saya Lakukan Selepas Pembedahan?

  • Selepas pembedahan, pesakit perlu melindungi ligamen yang dibedah dengan menggunakan topang atau rembat lutut selama lebih kurang sebulan
  • Biasanya pesakit boleh berjalan tanpa alat bantuan berjalan selepas sebulan dan boleh mula berjoging selepas empat bulan.
  • Bergantung pada kekuatan otot, pesakit mungkin dapat menyambung semula aktiviti sukan selepas sembilan bulan

 

Apakah Prognosis Kecederaan ACL?

Walaupun sekali-sekala terdapat kes ACL separa koyak yang sembuh dengan sendiri, ACL hampir tidak pernah sembuh dengan sendiri.

Dengan peletakan cantuman yang tepat dan pemulihan yang mencukupi, pesakit yang menjalani pembedahan ACL boleh menjangkakan pemulihan sebanyak 85% hingga 90%.

 

Bolehkah Koyak ACL Dielakkan?

Beberapa kajian menunjukkan bahawa latihan menguatkan otot dan propriosepsi boleh mengurangkan kejadian koyak ACL dalam kalangan atlet yang melakukan aktiviti fizikal yang tinggi.

Dengan mematuhi peraturan sukan yang ketat dan melakukan latihan yang kerap, kecederaan ACL dapat dikurangkan dalam sukan profesional.

 

 



Hubungan kecemasan
Gleneagles Hospital Penang
Ambulans / Kecemasan
+604 222 9199
Pilih Hospital
Click to know more!