Prepared by: Dr. Fauziah binti Zainal Abidin
Apakah autisme?
Gangguan Spektrum Autisme (Autism Spectrum Disorder, ASD) ialah sejenis gangguan perkembangan minda yang
melibatkan masalah komunikasi, tingkah laku dan fungsi sosial. Gangguan perkembangan ini bermula pada peringkat
usia kanak-kanak dan mempunyai tahap keterukan yang berbeza-beza.
Apakah perbezaan antara kanak-kanak normal dan autistik?
Gejala Gangguan Spektrum Autisme termasuk:
Kanak-kanak autistik akan mengalami kesukaran dalam tiga aspek utama:
- Kemerosotan dalam interaksi sosial yang merangkumi kemerosotan dalam penggunaan tingkah laku bukan lisan
seperti pandangan mata ke mata, ekspresi muka, postur badan dan gerak isyarat yang biasanya terdapat dalam
interaksi sosial biasa.
- Masalah komunikasi, termasuk lambat bertutur atau langsung tiada perkembangan pertuturan atau masalah untuk
memulakan atau meneruskan perbualan dengan orang lain.
- Terdapat corak tingkah laku, minat dan aktiviti yang bersifat terhad dan berulang-ulang, contohnya
mengibas-ngibas tangan, berjalan terhuyung-hayang, taasub dengan sesuatu perkara, bermain permainan yang
aneh atau menjalankan ritual tertentu sebelum membuat sesuatu.
Berapakah peratusan kanak-kanak yang menghidap autisme di Malaysia?
Tiada daftar rasmi berkenaan jumlah kanak-kanak yang menghidap autisme di Malaysia. Hal ini sebahagiannya
berpunca daripada peletakan autisme di bawah kategori masalah pembelajaran yang merangkumi gangguan kognitif
serta perkembangan mental yang lain. Namun, suatu tinjauan tempatan (Azizan, 2008) mendedahkan bahawa 1 dalam
625 kanak-kanak di Malaysia menghidap autisme.
Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia, NASOM (National Autism Society of Malaysia) melaporkan bahawa terdapat
peningkatan sebanyak 30% dalam pengambilan individu autistik oleh organisasi tersebut sepanjang tempoh tiga
tahun (Cheong, 2009).
Bagaimanakah cara untuk mengendalikan kanak-kanak autistik?
Mana-mana kanak-kanak yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan bertutur menjelang usia dua tahun, menunjukkan
tingkah laku yang aneh dan sukar berinteraksi dengan orang lain perlu diperiksa dengan sewajarnya.
Tanda-tanda ini biasanya dikenal pasti semasa janji temu di klinik kanak-kanak. Seterusnya, kanak-kanak tersebut
akan menerima surat rujukan untuk berjumpa pakar pediatrik atau pakar perubatan keluarga.
Kemudian, kanak-kanak tersebut akan diperiksa oleh pakar perkembangan pediatrik, pakar psikiatri kanak-kanak atau
pakar psikologi kanak-kanak.
Diagnosis awal dan intervensi segera adalah penting untuk mengoptimumkan potensi kanak-kanak tersebut.
Adakah kanak-kanak autistik berbahaya?
Kanak-kanak autistik tidaklah agresif dalam erti kata mereka tidak akan membahayakan orang lain dengan sengaja.
Namun, mereka mungkin akan membahayakan orang lain dengan sengaja oleh sebab ketaasuban mereka dengan ritual
atau tingkah laku tertentu.
Contohnya, mereka mungkin akan melanggar kanak-kanak yang lebih kecil semasa berlari-larian. Mereka mungkin akan
menjerit dan menangis di dalam ruang yang sesak apabila gelisah atau menggigit sesiapa yang cuba menghalang
mereka. Biasanya, mereka lebih gemar dibiarkan bersendirian.
Malah, mereka lebih terdedah kepada bahaya jika tidak diawasi dengan betul, kerana mereka mungkin terjatuh atau
merayau secara tiba-tiba.
Bagaimanakah reaksi majoriti rakyat Malaysia terhadap kanak-kanak yang menghidap autisme?
Walaupun terdapat peningkatan kesedaran secara am dalam kalangan rakyat Malaysia, masih banyak yang tidak
difahami tentang perihal sebenar penyakit ini.
ASD mempunyai pelbagai tahap kesukaran dan ketakupayaan yang mungkin mengelirukan orang awam. Kurangnya
pengetahuan dan pendedahan kepada autisme boleh memberikan kesan negatif kepada individu autistik dan keluarga
mereka.
Adakah pesakit autistik boleh hilang ingatan semasa proses tumbesaran mereka? Adakah mereka akan hilang
kewarasan sepenuhnya?
Hilang ingatan dalam erti kata hilang kewarasan bukan ciri-ciri autisme. Mungkin terdapat beberapa masalah mental
yang dikaitkan seperti keresahan dan kemurungan dalam kalangan individu autistik yang tidak menerima sokongan
apabila menempuh usia remaja atau dewasa. Dalam kes ini, mereka memerlukan penjagaan tambahan.
Sesetengah kanak-kanak yang menghidap autisme dilaporkan berkembang seperti kanak-kanak normal oleh ibu bapa
mereka dalam tahun pertama. Mereka mampu memanggil ibu mereka dan mungkin pernah menuturkan beberapa perkataan
yang mempunyai makna tetapi telah merosot dari segi perkembangan pertuturan. Perlahan-lahan, beberapa pola
tingkah laku mula muncul dan interaksi yang lemah dengan orang lain semakin ketara. Ini ialah pola yang dikenal
pasti pada sesetengah kanak-kanak autistik. Kepentingan diagnosis awal, intervensi segera serta sokongan
berterusan untuk individu autistik sepanjang hidup mereka tidak boleh diambil ringan.
Apakah nasihat untuk ibu bapa kepada kanak-kanak autistik yang ingin anak mereka bergaul dengan kanak-kanak
lain?
Ibu bapa ini berdepan tanggungjawab yang sangat berat dalam membesarkan anak-anak mereka. Kehidupan mereka tidak
akan sama seperti dahulu lagi. Mereka perlu berdepan dengan diri mereka sendiri, ahli keluarga, saudara-mara,
serta keperluan anak-anak mereka yang mencabar.
Biasa didapati satu unit keluarga berpecah kerana situasi yang mencabar ini. Selalunya, ibu atau bapa tunggal
yang perlu memikul sebahagian besar penjagaan untuk anak autistik. Mereka juga memerlukan sokongan menyeluruh
daripada masyarakat termasuk sistem kesihatan dan pendidikan. Semua kanak-kanak autistik wajar mendapat peluang
yang cerah dalam pendidikan. Sebahagian daripada mereka mungkin berpotensi untuk memberi sumbangan kepada
masyarakat.
Apakah nasihat anda kepada masyarakat tentang cara untuk berinteraksi dengan kanak-kanak autistik?
Saya sangat percaya dengan pepatah Afrika yang berbunyi "Untuk membesarkan seorang anak, seluruh kampung perlu
berganding bahu". Seluruh komuniti diperlukan untuk membesarkan anak-anak. Kesedaran serta kefahaman yang lebih
mendalam tentang pelbagai jenis ketakupayaan, khususnya autisme amat diperlukan.
Kanak-kanak autistik kelihatan serupa sahaja dengan kanak-kanak yang normal. Oleh sebab itu, mereka sukar untuk
dikenal pasti. Ibu bapa sering dipandang serong apabila anak-anak mereka meragam atau bertindak di luar kawalan.
Ibu bapa dengan anak-anak yang autistik lebih kerap mengalami situasi ini dengan jelingan yang tajam, penyisihan
dan komen-komen yang kurang enak didengar. Hal ini sangat menyakitkan hati terutama bagi ibu bapa yang cuba
sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada anak mereka. Tidak hairanlah kebanyakan kanak-kanak ini sering
ditinggalkan di rumah kerana tingkah laku mereka yang sukar ditangani. Hakikatnya, perbuatan ini hanya
merendahkan peluang mereka untuk meningkatkan interaksi dan komunikasi mereka dengan orang lain.
Oleh yang demikian, kita perlu menggunakan pendekatan yang lebih mesra dengan kanak-kanak ini serta keluarga
mereka. Kita perlu bersikap lebih baik antara satu sama lain dan kurang menghakimi kerana melainkan kita berada
di tempat mereka, kita tidak tahu apa yang mereka alami dalam hidup mereka.
Atur janji temu di Hospital Gleneagles
Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Pediatrik di Hospital Gleneagles yang terdekat
anda jika anda mempunyai sebarang soalan tentang Autism Spectrum Disorder (ASD).